This is an international website intended for audiences outside the United States.
Ini ialah sebuah laman web antarabangsa khas untuk pelawat-pelawat dari luar Amerika Syarikat. Pilih negara anda BM EN

Keintiman

Adalah perkara normal untuk berasa bimbang tentang kesan penyakit radang usus (IBD) ke atas hubungan peribadi dan seksual anda. Bagi penghidap IBD, berasa bimbang mengenai masalah keintiman adalah perkara penting dan wajar. Anda mungkin fikir isu ini terlalu peribadi dan memalukan untuk dibincangkan dengan doktor atau jururawat anda.

Berita baik ialah, dalam kebanyakan kes, IBD tidak akan menjejaskan keupayaan fizikal anda untuk melakukan hubungan intim. Sebenarnya, anda mungkin tidak berkeinginan untuk melakukannya terutama semasa kemarakan simptom. Namun, sepertimana IBD boleh diuruskan, begitu juga kesannya ke atas keinginan seks dan aktiviti. Perkara paling penting ialah menangani isu emosi dan psikologi.

Emosi

Anda mungkin mengalami pelbagai perasaan apabila memikirkan keadaan anda. Anda juga mungkin mempunyai perasaan lain pula apabila memikirkan tentang hubungan anda dengan pasangan sedia ada atau baharu anda. Ini termasuk rasa malu, bimbang atau sedih.

Ini mungkin disebabkan isu fizikal (seperti mempunyai simptom yang tidak menyelesakan atau mencemaskan) serta bagaimana anda fikir tentang diri anda dan tahap keyakinan diri anda.

Kebimbangan anda mungkin termasuk:

  • Adakah kolitis berulser atau penyakit Crohn membuatkan seks jadi menyakitkan?
  • Bagaimana kalau badan saya berbau?
  • Bagaimana kalau saya perlu ke tandas semasa sedang melakukan seks?
  • Apakah kesan ubat yang saya ambil ke atas keinginan/ keupayaan seks saya?

Semua kebimbangan ini adalah perkara biasa. Berbincanglah dengan doktor dan pasangan anda jika boleh. Ingat, bercakap tentang sebarang kebimbangan secara terbuka akan membantu mengelakkan rasa malu dan membantu anda rasa tenang. Sentiasa ingat bahawa waktu penyakit aktif biasanya akan diikuti oleh waktu remisi yang lebih baik apabila anda akan dapat menjalani kehidupan ‘normal’ sekali lagi.

Beritahu pasangan anda apa yang anda rasa sebenarnya dan bila anda memerlukan sokongan tambahan beliau. Berkongsi maklumat mengenai keadaan anda termasuk bagaimana ia menjejaskan imej tubuh anda, boleh memudahkan anda untuk bermesra. Bagaimana anda melakukannya adalah penting. Di peringkat awal, tidak perlu memberitahu setiap butiran tentang IBD anda – anda ada banyak peluang untuk berbual apabila anda telah mula selesa bersama. Berkongsilah dengan jujur dan yakin, bukan dengan rasa bimbang dan pesimis. Orang akan boleh membaca hati anda daripada sikap anda.

Sebagai permulaan, tunjukkan laman ini kepada pasangan anda untuk perbincangan. Mempunyai perhubungan yang mesra dan rangkaian sahabat dan keluarga boleh membawa perbezaan yang besar kepada kualiti hidup anda.

Kepentingan bercakap dan mendengar

Jika anda mempunyai masalah dalam hubungan seks, terutamanya jika anda menderita kesakitan akibat hubungan intim, penting untuk anda membincangkannya dengan pakar IBD anda. Jika anda tidak selesa berbicara isu-isu ini dengan pakar anda, mungkin anda lebih selesa bercakap dengan jururawat IBD (jika ada) atau doktor anda.

Tip-tip praktikal

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan supaya hubungan intim berjalan lebih lancar:

  • Jika anda perlu menggunakan supositori pada waktu malam, masukkannya selepas melakukan hubungan seks. Ini akan mengurangkan kemungkinan anda terpaksa ke tandas semasa seks
  • Gunakan jel pelincir jika anda mengalami kesakitan atau rasa tidak selesa semasa hubungan seks

Keintiman tidak selalunya bermakna hubungan seks. Bercumbu dan bermesra tanpa seks semasa anda berasa tidak sihat masih dapat memberi kepuasan kepada kedua-dua pasangan.

Ingat, walaupun ada ketikanya anda rasa tertekan dan malu dengan IBD anda, ia hanyalah sebahagian daripada siapa diri anda. Cuba fikirkan tentang keseluruhan perhubungan: pengalaman, impian dan matlamat yang telah dikongsi.

Kebimbangan yang biasa

Walaupun hubungan fizikal mungkin ialah perkara terakhir yang anda fikirkan apabila anda cuba menangani simptom dan kesan-kesan IBD, anda boleh mencari jalan untuk membantu anda rasa lebih selesa.

  • Saya rasa sangat penat: Pastikan anda mendapat tidur dan rehat yang cukup. Kesan fizikal IBD boleh membawa kepada emosi yang kuat yang boleh membuat anda rasa penat. Cuba bertenang sebanyak mungkin dan jika sesuai, bincangkan kebimbangan dengan pasangan anda. Cuba cari masa yang sesuai untuk bermesra apabila anda kurang penat seperti pada waktu pagi dan bukannya sebelum tidur
  • Pengubatan mengganggu kehidupan seksual saya: Menghidap kolitis berulser atau penyakit Crohn bermakna anda mungkin perlu menggunakan enema atau supositori semasa tidur yang boleh mengganggu hubungan seks spontan. Jika ini berlaku, cuba berlaku spontan pada waktu lain selain daripada waktu tidur
  • Saya rasa diri tidak menarik: Bercakaplah dengan pasangan anda tentang perasaan anda. Anda mungkin akan terkejut dengan respons beliau. Mungkin beliau tidak melihat sebarang ketidaksempurnaan pada diri anda! Fikirkan tentang perkara yang anda boleh buat untuk rasa lebih menarik: pakaian cantik, gaya rambut baru atau sediakan persekitaran menarik untuk waktu intim
  • Seks menyakitkan: Komplikasi IBD (contohnya fistula, jangkitan dan fibrosis atau penyempitan) boleh menyebabkan kesakitan semasa seks. Bercakaplah dengan doktor jika ini berlaku
  • Bagaimana pembedahan memberi kesan kepada saya? Pembedahan hanya dilakukan jika lain-lain bentuk rawatan gagal dan pakar bedah anda akan cuba meminimakan risiko berparut. Dalam beberapa kes, anda mungkin memerlukan stoma. Walaupun ini memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, cara terbaik untuk anda dan pasangan menangani apa-apa isu seperti ini ialah dengan berbincang. Lagi banyak pasangan anda faham tentang IBD, dia akan menjadi seorang yang lebih memahami.

IBD dan pembedahan

Anda mungkin telah berbincang dengan doktor tentang pembedahan sebagai rawatan IBD anda. Bagi pesakit kolitis berulser (KB), pembedahan boleh menyembuhkan; bagi penghidap penyakit Crohn anda mungkin disyorkan pembedahan untuk membantu dalam episod tertentu atau jika bahagian tertentu usus anda terjejas teruk.

Walaupun kebanyakan pesakit yang menjalani pembedahan akan sembuh sepenuhnya dengan sedikit komplikasi, penting untuk anda sedar akan beberapa perubahan yang boleh berlaku kesan daripada pembedahan tersebut:

  • Wanita: Anda mungkin mengalami kurang atau hilang libido (nafsu seks); ini biasanya kesan daripada perubahan dalam cara anda melihat tubuh anda dan merasakan diri sudah tidak menarik. Anda mungkin berasa kurang terangsang di bahagian seksual dan kering di bahagian vagina. Kadang-kadang ini membuatkan hubungan seks tidak selesa atau menyakitkan
  • Menggunakan gel pelincir dan mencuba pelbagai posisi boleh membantu memperbaiki hubungan seks anda. Yang penting ialah berbincang dengan pasangan anda dan jangan takut untuk meminta kepastian bahawa pasangan anda masih menganggap anda menarik
  • Lelaki: Saraf-saraf di sekeliling organ-organ genital (yang sangat hampir dengan kawasan usus) kadang-kadang boleh terpotong atau rosak semasa pembedahan. Ini boleh menyebabkan masalah mendapat ereksi dan ejakulasi. Dalam kebanyakan kes, saraf-saraf ini boleh sembuh sepenuhnya namun ia mungkin mengambil masa beberapa tahun. Berbincanglah dengan pasangan anda dan minta beliau bersabar. Sementara itu, cubalah kaedah alternatif dalam mencapai kepuasan seksual.

Bercakaplah dengan doktor jika masalah-masalah ini berterusan melebihi dua tahun. Beliau mungkin akan rujukkan anda kepada pakar neuro untuk nasihat selanjutnya.

NILAIKAN ISI KANDUNGAN INI

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars Average: 1.00 (3 votes)
Loading...

Borang maklum balas